January 10th 2009 12:38 am

Sukan Sea Laos: Gelanggang Bagi Atlit Pelapis Atau Elit?

Isu pembuka tirai bagi 2009 yakni isu penghantaran atlit ke Sukan Sea Laos tampak bertambah rumit tatkala tampilnya pelbagai pihak membuat kenyataan berkenaan isu tersebut. Masing-masing menyuarakan pendapat serta pendirian sendiri tanpa mencadangkan sebarang langkah penyelesaian. Tampak jelas lumrah dalam arena sukan tanah air kita masih lagi berbekam. Tiada siapa mahu berubah, dari hanya terus bertelagah kepada berusaha menyelesaikan masalah.

Konflik bermula tatkala Majlis Sukan Negara (MSN) memutuskan untuk menghantar atlit pelapis ke Sukan SEA Laos penghujung tahun ini. Lantas, sudah menjadi lumrah masyarakat dunia, jika ada yang mencadang pasti ada yang membantah. Lalu muncullah Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, dengan tegasnya mengkritik keputusan tersebut. Bantahan tersebut menimbulkan satu konflik hangat apabila turut membabitkan Menteri Belia dan Sukan sendiri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaacob. Dato’ Sri dengan terbuka menyelar Kok Chi kerana membantah keputusan yang telah dipersetujui semua pihak tersebut. Beliau menyuarakan rasa hairan beliau kerana keputusan tersebut sebenarnya diambil berdasarkan mesyuarat yang telah diadakan yang juga turut dihadiri Low Beng Chiu selaku Timbalan Presiden MOM sendiri.

Sekiranya diperhalusi, isu ini menimbulkan pelbagai polimik. Menurut alasan yang dikeluarkan Kok Chi, beliau terdorong untuk memberikan peluang kepada atlet-atlet senior untuk menyertai Sukan Sea kerana kebanyakan atlet senior masih bertaraf amatur dan belum mencapai tahap profesional menyebabkan mereka tidak mempunyai peluang bertanding dalam kejohanan yang memerlukan mereka layak secara merit seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik. Beliau juga berpegang pada penetapan empat tahun lalu yang menggariskan bahawa Sukan Sea bukanlah untuk medan pendedahan atlet pelapis. Namun persoalan jelas yang timbul, apakah kita masih perlu “menjaga” atlit-atlit senior yang bertaraf amatur ini. Tidak cukupkah peluang bertahun-tahun yang telah diberikan oleh pihak Majlis Sukan Negara serta persatuan-persatuan sukan kepada atlet-atlet senior ini. Semua pihak cukup maklum bahawa pihak Majlis Sukan Negara menghabiskan jutaan Ringgit untuk menaja latihan atlet-atlet kita.

Maka saya kira cukup sudah peluang untuk mereka membalasnya. Seharusnya kita tidak lagi bergantung harap kepada atlet-atlet senior yang tidak membawa pulangan ini. Sejarah mengajar kita bagaimana suatu ketika, dalam sukan badminton tatkala kita terlalu berharap kepada atlet senior, impaknya kita ketandusan atlet berwibawa. Bukan niat ingin memperkecilkan atlet badminton tetapi cuba kita fikirkan kembali, tatkala selepas berakhirnya era Rashid Sidek kita memerlukan jarak yang panjang untuk menemui bakat yang ada pada Lee Chong Wei. Sebelum ini mungkin kita ada Wong Choon Han, Roslin Hashim serta Hafiz Hashim. Namun mereka ini yang kita terlalu harapkan cuma bangkit untuk seketika sebelum terus perlahan-lahan jatuh bagai layang-layang putus talinya. Choon Han dengan masalah kecederaan ketika kita kehilangan peluang menggenggam Piala Thomas, Roslin yang gugur setelah memegang gelaran No1 dunia serta Hafiz yang layu sebaik memenangi All England. Semua ini telah dijadikan iktibar oleh BAM sendiri. Hasilnya tanpa berlengah BAM lantas membuka peluang kepada atlet-atlet pelapis menonjolkan diri. Semakin ramai atlet muda diberi peluang menyertai kejihanan besar. Hasilnya sudah mula menampakkan rupa. Badminton kita sudah punya pelapis-pelapis yang mantap seperti Muhd Arif Latiff dan juga juara beregu remaja dunia kita Mak Hee Chun-Teo Kok Siang, serta ramai lagi.

Kepada atlet-atlet pula seharusnya perkara ini dijadikan sebagai cabaran kepada mereka. Biar mereka sedar bahawa tiada ruang untuk orang yang main-main dalam arena sukan ini. Untuk terus bertanding di arena antarabangsa mereka perlu melepasi merit yang ditetapkan atau mereka bakal gigit jari sahaja. Oleh yang demikian harus untuk kita pandang kehadapan dan terus mencari alternatif untuk memantapkan masa depan arena sukan tanah air kita. Ramai sependapat bahawa, untuk kita membawa kecemerlangan dalam arena sukan Malaysia kita memerlukan barisan atlet pelapis yang mantap. Lantas untuk melahirkan atlit yang mantap kita perlu memberi pendedahan yang cukup kepada mereka terutama dari aspek penyertaan diperingkat antarabangsa. Maka tidak salah untuk kita jadikan Sukan Sea selaku medan terbaik untuk atlet pelapis memulakan rentak mereka diperingkat global.

Jawapan jelas yang dapat kita paparkan adalah, dalam usaha untuk kita membentuk sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang, kita perlu mengorbankan sesuatu yang mungkin memeritkan bagi sesetengah pihak. Namun ada nikmat yang bakal wujud jika kita berani menongkah arus. Lupakan saja tetapan yang menghendakkan kita tidak menghantar atlit senior,sebaliknya kita perlu berani mancuba. Kepada yang diberi peluang pula, mereka seharusnya menggenggam erat harapan yang diberikan serta timbalah pengalaman yang sewajarnya. Kita juga perlu beringat, bukanlah jumlah emas yang kita kejar sebenarnya, tetapi peningkatan mutu sukan Negara yang kita impikan. Apa guna seribu pingat emas Sukan Sea sekalipun seandainya kita masih belum mampu menggenggam sebutir emas Olimpik. Apa guna kejayaan menggunung hari ini jika esok kita bakal merudum. Apa yang pasti, kita harus mempersiapkan atlet kita sebaik-baiknya menjelang Sukan Sea Laos akan datang. Kepada MSN dan MOM pula hentikanlah bermasam muka,cari jalan penyelesaian terbaik dan tumpukan kepada persediaan yang mantap. Kajian harus menyeluruh serta sempurna dalam membuat keputusan agar Negara kita tidak terbantut pembangunan sukannya.

Viewed 491 times by 188 viewers

1 Comment »

1 Comment

  • At 2009.01.10 01:26, kaka' said:

    Arena sukan tanah air memang tak pernah lekang daripada kontroversi, kadang2 mengalahkan artis2 hiburan.
    Tapi bagi Kaka’, gandingan atlet senior dan pelapis adalah lebih sesuai demi menggalas harapan dan tugas negara. Manakala bagis sesetengah sukan, atlet2 yg sudah terbukti mantap tidak perlu lagi dipertaruhkan supaya peluang itu boleh dipergunakan oleh atlet pelapis.

    (Required)
    (Required, will not be published)

    « | »